KUALA LUMPUR: Pengenalan cukai baharu bagi menampung penjanaan pendapatan negara akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2019, pada 2 November ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengakui peralihan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) menyaksikan penyusutan pendapatan bersih kerajaan sebanyak RM17 bilion pada tahun ini.

“Sebahagian pengurangan kutipan cukai ini akan diimbangi hasil petroleum dan dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu, selain beberapa langkah lain.

“Ia merangkumi peningkatan hasil Kerajaan Persekutuan menerusi audit dan siasatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi aspek pematuhan cukai.

“Kadar cukai baharu yang akan dikenakan, tinggal dua minggu lagi, sebelum bajet dibentangkan, justeru saya harap Yang Berhormat (YB) Bera sabar sikit, tunggulah seperti rakyat Malaysia,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN UMNO-Bera) di Dewan Rakyat, mengenai jenis cukai baharu, selain unjuran pendapatan yang bakal diperoleh kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH DAP-Kota Melaka) berhubung aspek penjimatan kerajaan menerusi semakan semula beberapa projek, Guan Eng berkata, bukan semua pembangunan kemudahan demi manfaat rakyat dibatalkan.

Beliau sebaliknya menjelaskan, langkah pembatalan atau semakan semula hanya tertakluk kepada projek mega yang kosnya tidak mampu ditanggung kerajaan susulan pemindahan bebanan hutang melampau oleh pentadbiran terdahulu.

“Projek biasa akan diteruskan tapi mengikut kaedah baharu, iaitu sistem tender terbuka, tetapi kita akan minta pertimbangan pengurangan kos daripada kontraktor.

“Hal ini kerana kita tahu projek sebelum ini dijalankan secara rundingan terus, membabitkan (kepentingan) kroni pihak tertentu,” katanya.

Advertisements