KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang memerintahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib membayar mutaah sebanyak RM30 juta kepada bekas isterinya, Shahnaz Abdul Majid.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Syarie Datuk Yusof Musa bersama Hakim Syarie Saarani Ismail dan Hakim Syarie Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar memutuskan demikian selepas menolak rayuan masing-masing difailkan oleh Mahmud Abu Bekir, 55, dan Shahnaz, 55.

Mahkamah memerintahkan anak kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak itu membuat pembayaran secara tiga kali ansuran bermula sebelum atau pada 31 Oktober ini dengan jumlah RM10 juta bagi setiap transaksi.

Pada prosiding itu, Mahmud Abu Bekir diwakili peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar manakala Shahnaz diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Kadir dan Dr Mohd Rafie Shafie.

Pada 10 Mac 2016 , Mahkamah Tinggi Syariah di sini memerintahkan Mahmud Abu Bekir membayar mutaah RM30 juta kepada Shahnaz.

Angka itu difahamkan adalah jumlah tertinggi yang pernah diberikan oleh Mahkamah Syariah di negara ini dalam mana-mana tuntutan mutaah.

Pasangan yang bernikah pada 9 Januari 1992 sebelum bercerai pada 11 Mei 2011 dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya Abdul Taib Mahmud.

Advertisements