KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok, yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum bersara pada tahun 2003.

Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata Perdana Menteri bersetuju dengan cadangan itu jika kerajaan Johor hendak meneruskan projek berkenaan.

“Kami bercadang membina jambatan ketiga dan kerajaan negeri sudah berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri bulan lalu.

“Perdana Menteri berkata kami boleh bina kerana ia hanya babitkan jambatan di negeri kami. Kerajaan tidak ada halangan serta bersetuju dan kemungkinan besar jambatan bengkok akan diteruskan,” katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Jambatan bengkok atau Jambatan Indah adalah projek jambatan sepanjang 1.4 kilometer bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang digunakan sejak 1923.

Idea pembinaan jambatan bengkok tercetus kerana Singapura tidak mahu mengubah Tambak Johor yang menjadi struktur penghubung di sempadan negaranya.

Seni bina jambatan bengkok itu lebih tinggi bagi membolehkan kapal kecil melepasi Selat Johor namun Singapura enggan berkompromi dengan konsep itu.

Projek itu dibatalkan tahun 2006 pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Osman berkata, beliau akan ke Singapura bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak lama lagi bagi membincangkan isu air, hubungan dua hala dan pelaburan.

“Kami akan berbincang dengan rakan sejawatan di Singapura bagi mendapat maklum balas mengenai projek ini,” katanya.

Advertisements