KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dijangka akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat ini.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO sudah diberikan notis serah diri untuk ditahan jam 1.45 tengah hari tadi.

Beliau turut menyeru semua rakyat, khususnya ahli dan kepimpinan UMNO untuk hadir sama sebagai tanda #Solidariti4PresidenUMNO jam 9.00 malam di hadapan Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya dan jam 8.00 pagi di Mahkamah Seksyen Jalan Duta, di sini.

“Ayuh kita sama-sama hadir mempertahankan presiden kita yang kini menjadi sasaran regim Zalim Mahathir DAP.

“Jangan biarkan presiden kita keseorangan! Korbankan hanya sehari untuk kita mempertahankan Maruah UMNO yang kini cuba dirobek oleh sang penguasa,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebelum ini diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut oleh SPRM minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Zahid adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan pada 1977 dengan misi menghapuskan kemiskinan.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan memaklumkan pegawainya tersilap menggunakan wang yayasan itu bagi membayar bil kad kreditnya.

Advertisements