KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi membuat laporan polis berhubung dakwaan beliau menggunakan dana awam untuk perbelanjaan keluarga ketika lawatan rasmi ke Singapura.

Beliau berkata laporan yang diterbitkan dalam satu blog malam tadi tidak berasas dan berniat jahat.

Mohamaddin berkata, beliau menggunakan wangnya sendiri bagi perbelanjaan keluarganya yang turut bersamanya ketika lawatan ke negara itu pada 2 hingga 4 Oktober lalu.

“Saya tahu setakat mana saya boleh menggunakan kemudahan kerajaan.

“Untuk diri saya sendiri pun jika saya pergi saya lebih suka guna wang sendiri daripada menggunakan wang kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen ke-14 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tulisan di blog itu tular di internet dengan mendakwa keluarga Mohamaddin berbelanja barangan yang mahal ketika di Singapura sehingga kementeriannya terpaksa menyelesaikan bayarannya.

“Saya sudah buat laporan polis dan akan mencari penulis blog itu dan kalau dapat, saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

“Ini perkara yang betul dan saya tidak takut. Saya ada simpan semua resit tiket dan pembelian barang,” katanya.

Ahli Parlimen Silam itu turut menafikan beliau membawa keluarganya bercuti ke Brunei.

“Saya tak pergi pun ke Brunei,” katanya.

Beliau membuat laporan polis mengenai dakwaan itu di Balai Polis Presint 7 Putrajaya, pada jam 7.00 petang semalam.

Pada 12 Oktober lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengumumkan menteri tidak lagi boleh membawa keluarga dan rombongan mereka ke lawatan kerja singkat.

Terdahulu pada Istiadat konvokesyen itu, seramai 94 pelajar diploma, ijazah Sarjana Muda, ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah menerima pengiktirafan masing-masing.

Hadir sama pada istiadat itu, Rektor Aswara, Datuk Dr Rizon Juhari dan Ahli Lembaga Pengarah Aswara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Hari ini juga, ASWARA menandatangani memorandum persefahaman dengan Encore Melaka iaitu kompleks pementasan bertaraf dunia yang terletak di Bandaraya Bersejarah itu.

Advertisements