KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan aktivis, Adam Adli Abd Halim daripada pertuduhan menyertai perhimpunan haram #KitaLawan, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan yang diputuskan Mahkamah Majistret pada 28 November 2017.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharuddin memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya menarik balik rayuan yang difailkan pada 4 Disember 2017.

Mengikut pertuduhan, Adam Adli, 29, dan Mohd Fariz Abd Talib @ Musa, 48, didakwa bersama-sama menyertai protes jalanan itu bermula di hadapan Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Esplanade KLCC di sini antara jam 4 petang dan 7.30 malam, 28 Februari 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(3) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, pada 2 November 2017, Mohd Fariz dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan menutup kes terhadapnya berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Sementara itu ketika ditemui media di luar mahkamah, Adam Adli yang diwakili peguam Eric Paulsen berkata, dia gembira kerana kes ini telah selesai dan memberitahu kini dia sedang menyambung pengajiannya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selepas enam tahun digantung kerana kes ini.

Advertisements