SHAH ALAM: Penyanyi terkenal, Ziana Zain didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menghina mahkamah berhubung pendakwaan kes dera membabitkan bekas suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri.

Majistret Raja Nor Adilla Raja Mahyaldin dalam penghakimannya berkata, pihak pemohon iaitu Armin, 53, yang diwakili peguam Amir Farid Mohd Nawawi berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Mahkamah terima permohonan ini. Berikutan penghina yang dicadangkan (Ziana) membuat permohonan maaf secara sukarela. Jadi, mahkamah lepaskan dengan satu amaran.

Amir ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya membuat tuntutan permohonan maaf daripada responden iaitu Ziana atau Siti Roziana Zin, 50, yang mengeluarkan beberapa kenyataan dalam sidang akhbar dan temubual di Majalah InTrend keluaran Jun lalu berhubung kes dera membabitkan seorang anaknya.

“Apa yang diperkatakan Ziana adalah bersifat prejudis kepada anak guam saya selain menyentuh watak yang menjadi subjek dalam prosiding perbicaraan.

“Akibat perkara ini, responden menghina mahkamah berikutan campur tangan di dalam kes yang masih dibicarakan,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding sama, Ziana turut membuat permohonan maaf mengenai perkara itu.

“Saya memohon maaf kerana tiada niat untuk menghina mahkamah. Ini lebih kepada masalah peribadi.

“Saya mohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini,” katanya.

Ziana hadir ke mahkamah dengan berkemeja labuh ditemani adiknya, Anuar Zain dan diwakili peguam Luqman Mazlan.

Pada Mac lalu, Armin Zaharin yang mendirikan rumah tangga dengan Ziana sejak 1998, didakwa dengan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka berusia sembilan tahun menggunakan rotan, Februari lalu.

Bekas ketua pramugara itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kes yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada Julai lalu, Ziana yang popular dengan lagu Kemelut Di Muara Kasih sah bercerai talak satu dengan Armin di Mahkamah Rendah Syariah, di sini.

Advertisements