PUTRAJAYA: Kabinet memutuskan untuk meletakkan perlindungan keselamatan sosial pekerja asing di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mulai 1 Januari depan.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata langkah itu selaras dengan Konvensyen Kesamaan Rawatan (Pampasan Kemalangan) 1925 (No 19) dan Jawatankuasa Persidangan Penggunaan Piawaian di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Majikan yang menggaji pekerja asing dengan dokumen sah termasuk ekspatriat mesti mendaftarkan pekerja mereka dengan PERKESO dan menyumbang kepada Skim Bencana Pekerjaan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

“Bagaimanapun, pekerja asing tidak akan dilindungi oleh Skim Pencen Ilat di bawah Akta 4,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majikan boleh hadir ke 54 pejabat PERKESO di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak untuk mendaftar pekerja asing mereka.

Katanya, Kementerian Sumber Manusia bersama PERKESO akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan dalam masa terdekat.

Advertisements