AMPANG: Seorang lelaki dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ yang didakwa atas tiga pertuduhan, iaitu mendera dan menyebabkan kematian anak tirinya, diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Azrul Darus terhadap Khairul Izaini Khairuddin, 31, mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan selama 30 hari.

Terdahulu, Khairul Izaini yang juga seorang penganggur itu memaklumkan mahkamah bahawa dia menghidap penyakit mental, skizofrenia (gangguan atau bisikan) sejak kecil lagi selain pernah menjalani rawatan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

“Kini, saya menjalani pemeriksaan di Hospital Ampang serta mendapat bekalan ubatan dari hospital itu,” katanya.

Turut kelihatan di galeri awam, isteri tertuduh, Noraini Samian, 20, yang juga ibu kandung mangsa, memakai baju-t putih dan berstokin selain rambutnya diikat kerana masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiganya.

Khairul Izaini yang berada di dalam kandang tertuduh sesekali memandang ke arah Noraini yang hanya tunduk sepanjang prosiding itu.

Noraini yang juga ibu kandung mangsa dibebaskan dengan bon dan dijadikan saksi pendakwaan bagi kes berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai penjagaan ke atas Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim berusia tiga tahun empat bulan telah didapati melakukan penderaan terhadap mangsa di dua buah rumah di Lorong Permai 2, Kampung Indah Permai dan sebuah rumah di Taman Ampang Saujana, Jalan Persiaran Saujana, di sini antara Ogos 2017 sehingga November lalu.

Pertuduhan kes dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan status kesihatan mental tertuduh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta sama ada layak dibicarakan atau tidak.

Dalam prosiding itu, pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali, dia didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh mangsa dan dakwaan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori, jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan berikutan kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas mangsa di ruang tamu di sebuah unit rumah tingkat 3, Jalan Bukit Indah 5, Taman Bukit Indah, di sini jam 11 pagi pada 8 November lalu.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim itu ditetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes menunggu laporan forensik dan bedah siasat.

Dilaporkan pada 12 November lalu, sepasang suami isteri ditahan selepas menghilangkan diri selama empat hari kerana terbabit dalam kes penderaan kanak-kanak berusia tiga tahun.

Kedua-dua mereka ditahan di Hospital Kajang dekat sini kira-kira jam 11 pagi selepas isterinya, Noraini yang dikatakan melahirkan anak di sebuah inap desa di Hulu Langat sebelum menerima rawatan susulan di hospital itu.

Advertisements