PETALING JAYA: Bata Malaysia menyasarkan untuk membuka antara 10 hingga 15 cawangan Bata Kids di negara ini dalam tempoh tiga tahun.

Bata Kids adalah kedai konsep baharu yang diperkenalkan jenama berkenaan dan ia memfokuskan kepada koleksi kasut kanak-kanak sahaja.

Pengurus Negaranya, Ajay Ramachandran berkata, pada masa ini pihaknya merancang untuk membuka cawangan Bata Kids di sekitar Lembah Klang sebelum meluaskannya ke Pulau Pinang, Johor dan juga Sabah serta Sarawak.

Katanya, segmen kasut kanak-kanak dilihat mampu memberi sumbangan yang positif kepada perolehan Bata Malaysia.

“Kami kerap kali menerima aduan daripada golongan ibu bapa bahawa cawangan sedia ada tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk mempamerkan koleksi kasut kanak-kanak.

“Justeru, kami mengambil inisiatif membuka Bata Kids pertama di Asia yang terletak di dalam pusat beli-belah Sunway Pyramid.

“Memandangkan kami sudah bertapak kukuh dalam segmen kasut orang dewasa, kami juga yakin Bata Kids akan mendapat sambutan yang menggalakkan di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran cawangan Bata Kids di Sunway Pyramid, semalam.

Bata Kids akan menempatkan koleksi kasut dan aksesori kanak-kanak daripada jenama seperti BubbleGummers, Disney’s Marvel, Hello Kitty, Barbie, My Little Pony, Skechers Kids, Nike dan Puma.

Ia sesuai untuk bayi hinggalah kanak-kanak yang berusia 10 tahun.

Mengulas lanjut, Ajay berkata, cawangan pertama itu juga direka dengan hiasan yang menarik minat kanak-kanak.

“Selain itu, kami juga menyediakan kawasan khas yang mana kanak-kanak boleh menyerlahkan kreativiti mereka menerusi aktiviti mewarna,” katanya.

Bata Malaysia kini mengendalikan lebih 250 rangkaian runcit di negara ini merangkumi Bata City, Bata Family dan Primavera.

Advertisements