KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Media sebelum ini melaporkan isu ICERD itu mendapat pelbagai reaksi daripada segenap lapisan masyarakat termasuk menteri, anggota Parlimen, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

Kerajaan sebelum ini dilaporkan berkata sedang mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan mengenainya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah agak mustahil untuk kerajaan meratifikasi ICERD kerana kerajaan memerlukan majoriti dua pertiga untuk meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya meratifikasi konvensyen itu.

Kerajaan PH ketika ini tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, tambahan pula ada anggota Parlimen PH sendiri yang tidak bersetuju kerajaan meratifikasi konvensyen terbabit. – BERNAMA

Advertisements