GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) membayar ganti rugi RM30,000 kepada Lim Guan Eng, berikutan saman fitnah dikemukakan oleh bekas ketua menteri Pulau Pinang itu terhadap syarikat penerbitan dan pengarangnya.

Keputusan mahkamah itu dimaklumkan oleh peguam Datuk N Murali, yang mewakili Guan Eng, yang kini Menteri Kewangan.

Beliau berkata, Hakim Datuk Rosilah Yop, turut mengarahkan Utusan membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Lim, selaku plaintif.

Guan Eng memfailkan saman itu pada 10 September 2015 terhadap Utusan sebagai defendan pertama dan Zulkifli sebagai defendan kedua.

Dalam kenyataan tuntutannya, Guan Eng mendakwa artikel berkenaan mengandungi kenyataan fitnah, palsu dan berniat jahat terhadapnya kerana mendakwa plaintif campur tangan dalam urusan hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang berhubung isu tanah wakaf. – BERNAMA

Advertisements