Media Prima yang memiliki stesen televisyen TV3 memberhentikan pekerjanya tanpa mengikut lunas undang-undang, dakwa Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan TV3, Khairuzzaman Mohammad.

Khairuzzaman dalam suatu kenyataan hari ini berkata pihak kesatuan sekerja menggesa kerajaan campur tangan membatalkan tindakan pihak majikan berkenaan.

“Kesatuan menggesa campurtangan Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan untuk membatalkan tindakan pengurusan Media Prima ini dalam melaksanakan pemberhentian kerja ini yang tidak mengikut lunas undang-undang,” kata kenyataan itu.

Menurut Khairuzzaman pertubuhan pekerja syarikat berkenaan membantah langkah pembuangan pekerja yang dibuat pihak majikan itu, mendakwa tiada perbincangan diadakan.

“Kesatuan Sekerja Kakitangan TV3 dan Kesatuan Eksekutif TV3 membantah perlaksanaan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Eng dan Props serta proses MSS secara paksa seramai 43 orang kepada Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan.

“Ia melanggar Perjanjian Bersama kedua-dua Union kerana tiada perbincangan diadakan.

“Juga melanggar kod amalan Code of Conduct for Industrial Harmony 1975 dengan gagal berunding dengan pihak union dan melaksanakan langkah-langkah awal seperti pemotongan gaji, mengurangkan waktu kerja dan mengawal kerja lebih masa,” kata kenyataan itu lagi.

Pada 2 Oktober lalu, Media PrimaBhd (Media Prima)mengumumkan pelantikan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai pengarah eksekutif, operasi berita dan editorial, Media Prima.

Kumpulan media itu juga turut mengumumkan pelantikan beliau sebagai ahli lembaga pengarah, Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan The New Straits Times Press Bhd (NSTP), berkuat kuasa hari ini.

Mustapha Kamil dilaporkan bertanggungjawab dalam keseluruhan fungsi operasi berita dan editorial di Media Prima.

“Ini termasuk penetapan hala tuju strategik serta pemantauan operasi berita di Rangkaian Televisyen Media Prima dan NSTP.

“Beliau juga akan memberi fokus ke arah mengoptimumkan potensi unit berita Kumpulan sejajar dengan usaha transformasi perniagaan Media Prima,” petik laporan Berita Harian.

Advertisements