KUALA LUMPUR: “Anggota bomba cuma jalankan tugas, tolong hormati mereka,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin, yang jelas berang dan kecewa apabila seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya menjadi mangsa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, awal pagi tadi.

Kesal dengan kejadian itu, beliau berkata, tindakan perusuh mencederakan anggota beruniform yang mahu memadamkan kebakaran adalah keterlaluan dan tidak seharusnya berlaku.

“Ini budaya yang harus dihentikan kerana mereka adalah penjawat awam beruniform, perlu ada satu tahap hormat terhadap penjawat awam beruniform daripada rakyat Malaysia.

“Anggota bomba menjalankan tugas dan amat diperlukan dalam apa juga situasi kecemasan. Sudahlah kurang mendapat pengiktirafan, kini mereka tidak dihormati apabila dipukul ketika bertugas.

“Saya harap polis membuat siasatan terperinci supaya pihak yang melakukan perkara keterlaluan ini dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, seorang anggota bomba yang ke lokasi bagi memadam kebakaran kereta di luar Kuil Maha Mariamman bersama pasukannya, dilaporkan cedera diserang perusuh.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS dikatakan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan beberapa orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk rawatan lanjut.

Serangan berkenaan turut menyebabkan dua jentera bomba iaitu satu unit van EMRS dan jentera pemadam (FRT) dirosakkan kumpulan perusuh dianggarkan seramai 1,000 orang.

Muhammad Adib yangd dilaporkan cedera parah dan tidak sedarkan diri dipercayai patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) SJMC.

Zuraida yang akan melawat anggota bomba itu tengah hari ini berkata, isu perebutan tanah membabitkan pihak kuil dan syarikat swasta itu sepatutnya sudah diselesaikan lebih awal.

Katanya, kegagalan pihak bertanggungjawab sebelum ini menyelesaikan perkara itu menjadi punca tercetusnya insiden berkenaan yang tidak sepadan dengan imej rakyat Malaysia sebenar.

“Sepatutnya ada rundingan dan perbincangan meja bulat dibuat dengan pihak terbabit, panggil pihak perunding untuk cari jalan penyelesaian.

“Saya harap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya berani berdepan masalah dan selesaikan sebelum terlambat,” katanya.

Advertisements