KUALA LUMPUR: Kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan tuduhan gagal mengemukakan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram, berkata demikian ketika kes disebut semula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Menurutnya, pada 29 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sudah membenarkan permohonan pihak pembelaan Rosmah untuk memindahkan kes itu.

Bagaimanapun tarikh sebutan di Mahkamah Tinggi belum ditetapkan.

Peguam Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent hadir mewakili Rosmah.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Rosmah, 67, didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Advertisements