KUALA LUMPUR: Satu seminar berhubung reformasi Parlimen akan diadakan Sabtu ini, bagi menggalakkan percambahan idea untuk penambahbaikan institusi perundangan negara itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Parlimen hari ini, seminar sehari bermula 9 pagi hingga 5.30 petang itu akan dirasmikan Yang DiPertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Sebanyak empat kertas kerja berhubung reformasi Parlimen akan dibentangkan oleh penceramah serta moderator berpengalaman dari dalam dan luar negara pada seminar berkenaan.

“Seminar akan diadakan di Dewan Persidangan, Blok Sementara Parlimen. Ia merupakan kolaborasi pertama antara Parlimen dan Institut Darul Ehsan,” menurut kenyataan itu.

Antara penceramah dan moderator dijangka hadir adalah Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Ahmad Kassim; Exco Kerajaan Negeri Perak Dr Abdul Aziz Bari; anggota Parlimen dari Australia Kevin Andrew dan Penyelaras Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia Stefan Priesner.

Objektif utama penganjuran seminar itu adalah bagi menggalakkan percambahan idea mengenai pengamalan terbaik sistem demokrasi berparlimen selain merealisasikan manifestasi penambahbaikan Reformasi Parlimen Malaysia Baharu sebagai institusi badan perundangan bebas dan telus, menurut kenyataan itu. 

Advertisements