KUALA LUMPUR: Kerajaan giat mengkaji dan mengenal pasti aset yang ingin dijual bagi mengurangkan beban hutang negara.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata kerajaan turut mengkaji potensi merasionalisasi syarikat yang mempunyai mandat penubuhan sama, menutup syarikat yang memiliki beban fiskal kepada negara atau melupuskan kepentingan dengan syarikat bernilai komersial dan strategik kepada pemegang saham (kerajaan).

Katanya, pertimbangan dan keputusan untuk melupus atau memansuhkan syarikat akan dibuat berdasarkan prestasi dan peranan syarikat, keperluan industri serta kemampuan untuk beroperasi, di samping kesannya terhadap fiskal negara.

“Kerajaan akan pastikan aset yang dijual mampu memberi nilai terbaik kepada negara.

“Kita tidak akan menjalankan penjualan secara ‘fire sale’ kerana nilai yang paling baik harus diperoleh, bukan nilai paling rendah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN UMNO-Kepala Batas) berhubung aset kerajaan yang disifatkan tidak kritikal dan bukan strategik yang ingin dijual dalam masa terdekat.

Kepada soalan tambahan Reezal Merican berhubung bon Samurai yang dikhuatiri akan membebankan negara pada masa depan, Guan Eng berkata, kerajaan meletakkan kepercayaan sepenuhnya terhadap Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kita yakin Bank Negara mampu menguruskan penerbitan bon Samurai oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia.

“Bank Negara kini lebih cekap untuk menguruskan pendedahan mata wang asing supaya kita dapat meminimumkan kerugian sekiranya mata wang Yen meningkat.

”Tempoh perjanjian selama 10 tahun memberi ruang dan dasar untuk kerajaan menerusi Bank Negara membuat keputusan serta penyesuaian sewajarnya,” katanya.

Advertisements