PUTRAJAYA: “Beliau (Melia Serena Mukhriz) bebas untuk memberi komen. Anda boleh bertanya kepadanya,” ulas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai kritikan dibuat cucunya, Melia Serena berhubung perhimpunan kesyukuran kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, Sabtu lalu.

Melia Serena menerusi catatan di Instagram Stories baru-baru ini merujuk kepada peserta perhimpunan itu dengan keterangan; ” Menjijikkan….saya tidak peduli. Terlalu mengecewakan,”.

Selain itu, beliau turut mengatakan bahawa ‘Wawasan 2020 hilang kerana anda semua’.

Melia Serena adalah anak perempuan kepada Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah.

Pada Sabtu lalu, satu perhimpunan aman berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur bagi meraikan keputusan kerajaan yang tidak akan meratifikasi konvensyen di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Antara pemimpin pembangkang yang hadir dalam himpunan itu termasuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Advertisements