KUALA LUMPUR: Kes bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor, yang didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak, akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Rizal, 44, memaklumkan pihaknya telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi pada 5 Disember lalu.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya telah memfailkan afidavit sokongan berkenaan permohonan itu dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan tarikh sebutan di sana.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, berkata pihaknya tidak akan memfailkan afidavit balasan dan tidak mengemukakan sebarang bantahan bagi permohonan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Pada 15 November lalu, Rizal mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah untuk dirinya dan Datin Seri Rosmah Mansor berjumlah RM5.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, Rizal didakwa meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang berjumlah RM187.5 juta yang juga 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Bagi tuduhan kedua, Rizal didakwa meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan bagi dirinya (Rizal) melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Rizal didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lygon Cafe’, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat sini antara Mac dan April 2016.

Bagi tuduhan menerima rasuah pula, Rizal didakwa menerima bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di Lobi Pavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Disember 2016.

Tuduhan keempat, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa .

Perbuatan itu didakwa dilakukan di No 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut, dekat sini pada 23 Disember 2016.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Advertisements