Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak, yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk meminda laporan audit akhir 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam bagi mengelakkan sebarang tindakan ke atasnya, dikehendaki membayar jaminan RM500,000 hari ini apabila Mahkamah Sesyen menolak permohonan beliau untuk membuat pembayaran secara ansuran.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon agar anak guamnya dibenar membayar RM200,000 hari ini dan esok dan bakinya RM100,000 dibayar pada Jumaat.

Hakim Azura Alwi berkata, bayaran itu tidak boleh dibayar secara ansuran dan perlu dilakukan sepenuhnya, bagaimanapun Muhammad Shafee bertegas mahukan bayaran itu dibuat pada Jumaat yang mana Azura menjawab “No, by today” (Tidak, hari ini juga).

Azura membenarkan Najib dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jan untuk sebutan kes berkenaan.

Terdahulu, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan menawarkan jaminan berjumlah RM1 juta dengan seorang penjamin kepada Najib, bagaimanapun Muhammad Shafee membantah dengan jumlah berkenaan.

Beliau memohon kepada mahkamah agar dilanjutkan jumlah jaminan berjumlah RM5.5 juta yang telah dikenakan ke atas anak guamnya secara kes berasingan daripada kes hari ini.

“Saya ingin bertanya bagi pihak anak guam saya agar dibebaskan tanpa sebarang jumlah jaminan,” katanya.

Advertisements