KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini melepas tanpa membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, daripada pertuduhan kedua yang dihadapinya iaitu menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan berhubung tugas rasminya, dua tahun lalu.

Hakim Azman Ahmad memutuskan demikian terhadap Tengku Adnan, 68, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang dihadapinya pada 15 November lalu.

Terdahulu, Julia memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan mendapati fakta di dalam pertuduhan pertama dan kedua tidak berkaitan dan tidak sewajarnya dibicarakan bersama.

”Pihak pendakwaan telah memfailkan semula pertuduhan itu sebagai pertuduhan baharu dan akan dibacakan semula,” katanya.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan tidak membantah permohonan itu namun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan RM1 juta yang yang dikenakan ke atas anak guamnya sebelum ini bagi dua pertuduhan kepada RM500,000 dengan seorang penjamin.

Menurutnya, ia bagi membolehkan wang itu digunakan untuk membayar wang jaminan kepada pertuduhan baharu yang difailkan pihak pendakwaan.

Dalam prosiding berasingan, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan kedua itu dibacakan semula sebagai pertuduhan baharu.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa menerima rasuah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holding Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, Level 1, Lot A4, Block A, Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Bagi perbuatan itu, Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Tengku Adnan diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan Hock Chuan supaya pasport antarabangsa Tengku Adnan dipulangkan sementara kepadanya bermula hari ini berikutan tertuduh perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Melbourne, Australia dan perlu dikembalikan semula kepada mahkamah pada 7 Januari ini.

Hock Chuan turut memaklumkan mahkamah, pihaknya telah membuat permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah dan pendengaran bagi permohonan berkenaan ditetapkan pada Jumaat ini.

Pada 15 November lalu, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan Eng Boon melalui cek milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Ia sebagai upah bagi dirinya meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada 27 Disember 2013.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau mana-mana lebih tinggi.

Tengku Adnan, yang juga Bendahari UMNO, didakwa atas pertuduhan pilihan di tempat dan tarikh yang sama iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk diri sendiri suatu barang berharga dengan tiada balasan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya.

Advertisements