JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berharap Malaysia dan Singapura dapat mencari penyelesaian menang-menang berhubung isu Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan had pelabuhan.

Dalam entri terbarunya di laman Facebook, Tunku Ismail berkata kedua-dua negara sepatutnya tidak terperangkap dengan isu yang sepatutnya tidak berlaku.

“Di sebelah kanan saya ialah Prem Singh dari Unit Cawangan Khas, Singapura. Beliau sudah menjaga saya selama sembilan tahun, di sebelah kiri saya pula adalah Leftenan Kolonel Samsyawal Muhamad dari ATM (Unit Gerak Khas), yang merupakan rakan ‘sniper’ saya ketika saya menjalani kursus Pegawai Muda di PULADA pada tahun 2002.

“Beliau sudah bekerja dengan saya sejak tiga tahun yang lalu. Saya tidak perlu memperkenalkan diri saya, saya dari Johor.

“Di sini saya berada di tengah-tengah antara Singapura dan Malaysia. Kami bertiga adalah rakan baik, bekerjasama dengan baik dalam organisasi yang sama,” katanya dalam kenyataan itu.

Ia juga adalah entri pertama Tunku Ismail bagi mengulas isu berkaitan ILS dan had pelabuhan yang menjadi perdebatan hangat sejak awal bulan ini.

“Saya berharap kedua-dua negara dapat mencari penyelesaian ‘win-win situation’ untuk sama-sama berjaya dan tidak terperangkap dengan isu yang tidak sepatutnya berlaku,” tambahnya.

Advertisements