KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Abdullah Ayub, 92, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di sini awal hari ini.

Perkara itu disahkan isterinya, Toh Puan Anna Abdul Ranee ketika dihubungi.

“Tun dimasukkan ke IJN 4 Disember lepas kerana masalah jantung biasa. Bagaimanapun, beliau diserang strok pada 5 pagi Jumaat lalu (7 Disember).

“Selepas menjalani rawatan, beliau meninggal dunia pada 1.33 pagi ini,” katanya.

Beliau berkata solat jenazah akan berlangsung di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini selepas solat Zohor, sebelum urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Dilahirkan pada 3 Januari 1926 di Pasir Panjang Laut, Sitiawan, Perak, Abdullah dilantik menjadi Ketua Setiausaha Negara pada 1 Januari 1979 dan bersara daripada perkhidmatan awam pada 3 Januari 1981.

Advertisements