SUBANG: Syarikat penerbangan, Firefly Airlines (Firefly) menyasarkan kempen Jom Jalan melalui portal kembara Firefly Holiday akan menerima kira-kira 500 tempahan pada setiap suku bermula tahun depan.

Ketua Eksekutifnya, Ignatius Ong, berkata buat masa ini syarikat penerbangan jarak pendek premium itu menjalin kerjasama dengan GoQuo dan akan memeterai beberapa usaha sama lain dengan KTM Holidays dan Tourism Malaysia.

Beliau berkata, sejak pra-pelancaran pada Oktober lalu, Firefly menerima 180 tempahan dari pelanggan setia Firefly serta Malaysia Airlines dan ternyata mendapat maklum balas yang baik.

 

 

“Firefly Holiday adalah pilihan yang ideal bagi pengembara global dan serantau kerana menawarkan kemudahan dari segi proses tempahan sehinggalah anda tiba di destinasi yang ingin ditujui.

“Pelanggan diberi pilihan untuk menyusun jadual mengikut kesesuaian dan memilih sendiri waktu penerbangan, hotel dan pengangkutan di portal ini.

“Ia juga mendapat pengiktirafan yang dibuktikan melalui kemudahan yang berbaloi dan keyakinan pengguna sejak dilancarkan pada 2010,” katanya pada majlis pelancaran kempen Jom Jalan dan kerjasama dengan GoQuo.

Hadir sama, Pengasas GoQuo, Ron Ramanan.

 

GoQuo adalah platform e-dagang bagi sektor penerbangan yang mempunyai pelbagai perkhidmatan pelancongan seperti tempahan hotel, sewa kereta, lawatan bandar, insurans dan pengangkutan.

Ong berkata, usaha sama ini adalah bukti komitmen Firefly dalam menawarkan perkhidmatan yang menyeluruh dan terbaik kepada pelanggannya.

“Kami juga bersedia untuk memberikan pilihan yang banyak kepada pengguna bagi aktiviti pelancongan di Malaysia dan juga global,” katanya.

Selain itu, katanya, Firefly juga akan bekerjasama dengan banyak lagi pemain industri sektor pelancongan berpotensi dalam sektor pelancongan perubatan pelancongan eko, makanan dan beli-belah.

Advertisements