TANAH MERAH: Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, mengumumkan keluar UMNO serta meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Tanah Merah.

Katanya, keputusan nekad itu diambil demi kebaikan warga Tanah Merah dan juga untuk mengembalikan kuasa Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau belum bercadang menyertai parti lain.

“Saya akui mungkin ada yang tidak faham dengan tindakan yang saya ambil ini. Namun saya pasti masa akan menentukan dan rakyat boleh menilai sama adakah tindakan saya ini betul.

“Saya hanya mahu memastikan pembangunan di Tanah Merah yang sekian lama kita usahakan ini diteruskan dan tidak berhenti setakat ini sahaja,” katanya.

Pengumuman keluar parti itu dibuat di hadapan hampir 800 penyokong dan pimpinan UMNO Tanah Merah dalam pertemuan ringkas di Dewan UMNO Gual Ipoh di sini, hari ini.

Ikmal Hisham berkata, keputusan keluar parti itu sudah difikirkan agak lama dan beliau sendiri ada berjumpa dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed yang lebih awal berhijrah.

“Saya akui memang sukar untuk membuat keputusan kerana sudah lama bersama pasukan UMNO. Bagaimanapun saya bersyukur ahli jawatankuasa UMNO Tanah Merah memahami keputusan saya.

“Saya cukup berterima kasih kepada mereka yang tidak menghalang keputusan saya walaupun pada masa sama mereka tidak menyokong apa yang saya lakukan.

“Keputusan nekad ini dibuat dua hari lepas sebelum saya umumkan hari ini. Namun saya tahu nama saya sudah lama tersebar berhubung isu keluar parti,” katanya.

Advertisements