KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 10 pertuduhan melibatkan kesalahan pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah RM3.09 juta berhubung pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Mohd Isa bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi dan mohon dibicarakan.

Mohd Isa dituduh melakukan pecah amanah dengan melepaskan harta FIC dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel &Suites Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah Felda.

Pendakwaan di bawah 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang 2 tahun dan tidak lebih 20 tahun, sebat dan denda.

Bagi sembilan lagi pertuduhan, Mohd Isa dituduh menerima rasuah dari Ikhwan bin Zaidel, Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd sebanyak RM3.09 juta sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd pada tahun 2014.

Kesalahan didakwa dilakukan antara 29 April 2014 hingga 11 Disember 2015 di Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM800,000 dengan seorang penjamin, manakala pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Kes disebut semula pada 25 Januari depan.

Timbalan Pendakwaraya ialah Datuk Omar Saifuddin Jaafar dan Mohd Isa diwakili peguam Ridha Abdah Subri dan Datuk K. kumaraendran.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Isa disiasat SPRM susulan pembelian sebuah hotel di Sarawak, pada 2014.

Hotel bertaraf lima bintang yang memiliki 213 bilik itu dibeli oleh FIC dengan harga RM160 juta meskipun nilai sepatutnya yang direkodkan adalah RM110 juta.

Mohd Isa yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah FIC dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, mengetuai Felda sejak 2011.

Advertisements