KUALA LUMPUR: Pusat pakar pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd dijatuhi hukuman denda RM320,000 selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang juga menantu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Hamri Thamri menjatuhkan hukuman itu terhadap pusat pakar pergigian swasta itu yang diwakili ahli lembaga pengarah syarikatnya Dr Alice Wong Yen Lin, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira faktor selaras dengan peruntukkan undang-undang supaya ia dapat memberi pengajaran kepada OKS dan pengamal perubatan yang lain.

“Ia juga bagi memastikan semua pengamal perubatan mematuhi standard piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Mahkamah turut membenarkan denda itu dibayar secara berperingkat iaitu RM25,000 dibayar hari ini manakala bakinya RM295,000 dibayar bermula 21 Januari hingga 28 Jun 2019 selain kos sebanyak RM5,000 yang perlu dibayar pada pihak pendakwaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, premis itu sebagai pemegang lesen didakwa gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 26, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain.

Bagi pertuduhan kedua, pusat tersebut didakwa sebagai pemegang lesen didapati gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu ‘Daftar Kakitangan’.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, premis itu dituduh gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.

Bagi pertuduhan keempat, pusat itu didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti yang dikehendaki mengikut Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Bagi pertuduhan kelima, OKS didakwa gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di klinik yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara jam 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nadia Zulkefli manakala OKS diwakili peguam P. Sreekant.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017, seramai 13 saksi pendakwaan manakala dua saksi pembelaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada 5 April lalu, mahkamah memerintahkan pusat itu membela diri atas lima pertuduhan daripada sembilan pertuduhan yang dikenakan.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan membebaskan pusat itu atas empat pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Syed Alman Zain adalah suami kepada Datuk Nurulhidayah iaitu anak sulung kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Advertisements