KANGAR: Veteran UMNO, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) semalam di ibu negara, menurut kenyataan Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Wan Saiful Wan Jan, di laman Facebook petang semalam.

Menurut kenyataan itu, Wan Saiful bersama Setiausaha Agung BERSATU, Senator Datuk Marzuki Yahya mengadakan pertemuan bersama bekas Menteri Dalam Negeri itu bagi membincangkan masa depan perjalanan politiknya.

“Alhamdulillah sebentar tadi (semalam) bersama dengan Senator Datuk Marzuki Yahya, Setiausaha Agung BERSATU, menyerahkan kad keahlian seumur hidup kepada Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad.

“Beliau adalah orang lama Perlis. Antaranya, pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar, Menteri Dalam Negeri, Ketua Bahagian UMNO Kangar, dan juga Setiausaha Agung UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

Radzi yang juga anak bekas Menteri Besar Perlis, Allahyarham Tan Sri Sheikh Ahmad Mohd Hashim, adalah tokoh politik yang aktif sewaktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri keempat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kangar ketika itu pernah beberapa kali memegang jawatan Kabinet sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan kali terakhir sebagai Menteri Dalam Negeri pada 2004.

Terdahulu UMNO menerima tamparan hebat selepas di Sabah apabila Pengerusinya, Datuk Hajiji Mohd Noor, bersama 13 wakil rakyat dan 21 ketua Bahagian meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli politik bebas.

Majlis pengumuman keputusan yang dibuat kelmarin di Kota Kinabalu itu turut menyaksikan kehadiran kebanyakan pemimpin kanan dan ahli Jawatankuasa UMNO Sabah, antaranya Ketua Penerangan UMNO negeri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Advertisements