KUALA LUMPUR: Seorang penolong pengurus Jabatan Pengarang akhbar The Star dihukum penjara 30 bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Seksyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menerima rasuah RM20,000.

Hakim Madihah Harullah menjatuhkan hukuman itu terhadap M Youganesparan, 54, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara 18 bulan, sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Youganesparan didakwa menerima suapan RM20,000 daripada Mohd Emir Mavani Abdullah, 55.

Wang itu kononnya untuk diberi kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan kepada pegawai SPRM itu menyelesaikan kes berkaitan Mohd Emir yang disiasat SPRM.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Dome Cafe, Lot G20 Vista Power, The Intermark Jalan Tun Razak di sini, jam 9.15 malam, pada 30 Mei 2017.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan adalah penanggung tunggal keluarga dan mengalami masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman, membantah rayuan itu dan memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana rasuah adalah kesalahan serius dan untuk memberi kesedaran kepada orang awam supaya tidak melakukan kesalahan sama.

Advertisements