KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menyifatkan pemergian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, sebagai satu kehilangan besar buat negara.

Dalam masa yang sama, Siti berharap apa yang terjadi tidak memudarkan semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Sebuah negara tidak akan kuat tanpa keamanan. Dan keamanan itu asasnya adalah rasa penyatuan yang kuat dalam masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara kita.

“Kita muhasabah diri kerana setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. Jangan korbankan keamanan yang kita miliki hari ini,” kata Siti ketika ditemui pada sidang media konsert Siti Nurhaliza On Tour Di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Beliau juga berharap anggota keluarga Muhammad Adib diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan yang besar ini.

“Muhammad Adib pergi sebagai seorang wira dan pengorbanannya akan terus dikenang rakyat Malaysia,” ujarnya.

Advertisements