KUALA LUMPUR: Tindakan menangkap perusuh yang terbabit dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya sewajarnya dilakukan secara besar-besaran.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata tindakan lewat diambil pegawai penyiasat dalam menangkap perusuh yang terbabit, mengganggu dalam mengesan individu yang melakukan kesalahan ketika rusuhan itu.

Beliau berkata, sepatutnya pihak polis menangkap mereka yang terbabit dalam rusuhan ketika situasi masih ‘panas’ kerana pada ketika itu segala maklumat masih baru.

“Kalau ambil contoh ketika saya memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa berlakunya perhimpunan Hindraf di Ampang Park, seramai 130 individu ditangkap pada hari kejadian.

“Namun pada ketika itu segala maklumat masih ‘panas’ (baru) kerana kita bertindak (menangkap) secara besar-besaran sebelum menjalankan siasatan lanjut.

“Kejadian itu adalah sama seperti rusuhan kuil berkenaan. Peserta perhimpunan mencederakan anggota polis dan bomba, merosakkan kenderaan awam termasuk kenderaan polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Musa berkata, kes pencerobohan di kuil, serangan ke atas penjawat awam dan rusuhan di hadapan kuil dilihat lewat ditangani.

“Justeru adalah paling tepat sekiranya tindakan dapat diambil lebih awal berdasarkan maklumat yang baru. Berbanding mengesan individu dengan lambat maklumat yang diperolehi juga sudah basi,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan pihak polis dalam menangani insiden berkenaan dan percaya PDRM ketika ini mempunyai perancangan tertentu.

Katanya, pihak polis sewajarnya membuat satu tindakan yang lebih holistik dalam mengumpul maklumat yang ada membabitkan insiden rusuhan dan insiden yang menyebabkan kematian penjawat awam.

“Saya juga berharap polis menggerakkan segala maklumat yang ada khususnya dalam bentuk siasatan dan risikan untuk mengesan mereka yang terbabit.

“Pegawai penyiasat juga harus memastikan laporan dan bukti kukuh dalam elemen siasatan untuk memastikan pembunuh yang membunuh Muhammad Adib dikenakan tindakan,” katanya.

Advertisements