KUALA NERUS: Siapa sangka, pelajar berbangsa Cina, Por Hui Ling, 11, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jiring di sini memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)  tahun ini yang diumumkan semalam.

Dia mendapat keputusan semua A dalam mata pelajaran Ulum Syariah, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Penghayatan Cara Hidup Islam , Adab, Amali Solat, Sirah dan Al-Quran.

Meskipun latar belakang keluarganya beragama Buddha, pencapaian Hui Ling itu sebenarnya umpama mengulangi kejayaan abangnya, Por Jie Hua, 14, yang mendapat 5A 3 B dalam peperiksaan sama tiga tahun lalu.

Hui Ling ketika ditemui Bernama berkata dia mula mengikuti kelas KAFA ketika berada di Tahun Dua selepas mendapat dorongan daripada kedua ibu bapanya mempelajari sesuatu yang baharu dan mengeratkan lagi persahabatan dengan rakan di sekolah.

Walaupun berdepan banyak kesukaran pada peringkat awal, dengan usaha gigih, tunjuk ajar serta bantuan guru serta rakan lain, Hua Ling  berjaya menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi dengan baik dan lancar.

“Pada mulanya saya agak keberatan untuk mengikuti kelas KAFA tetapi ibu bapa dan abang selalu memberi galakan kerana jika pelajar Melayu boleh mempelajari Bahasa Cina dengan baik kenapa pula kami  tidak boleh.

“Saya juga selalu mengajar adik bongsu (lelaki), Por Jing Yi, 6, menulis Jawi di rumah dan nampaknya dia juga berminat untuk sertai kelas KAFA dua tahun lagi kerana sekarang ini dia masih di pra-sekolah,” katanya yang juga boleh membaca Al-Quran.

Hui Ling berkata ibu bapanya, Por Kim Sin, 62, dan Yeap Bee Fai, 43, pula tidak pernah menganggap perbezaan agama sebagai halangan untuk seseorang  itu mempelajari mengenai agama lain.

Justeru, mereka tidak keberatan menghantar tiga anaknya mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) pada sebelah petang di sekolah bersama rakan-rakan beragama Islam yang lain untuk mengetahui sedikit sebanyak perkara mengenai agama tersebut.

“Saya pada mulanya tidak menyangka mampu meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPKK tetapi bangga kerana dapat membuktikan keupayaan kepada keluarga yang menyokong saya,” katanya.

Katanya, bahasa Arab serta tulisan Jawi adalah sesuatu yang seronok dipelajari dan tidak begitu sukar berbanding bahasa Mandarin.

“Mula-mula sahaja nampak susah tetapi selepas setahun saya dah boleh mahir menulis dan membaca Jawi dan Al-Quran sedikit-sedikit.

“Ia berbeza dengan bahasa Mandarin yang sampai sekarang saya belum mahir walaupun dah  mempelajarinya selama lima tahun di sekolah.

“Oleh itu saya nasihatkan pelajar lain supaya jangan takut untuk belajar bahasa asing termasuk bahasa Arab kerana ia sebenarnya sangat seronok dan tidak menjejaskan jati diri bangsa,” katanya.

Advertisements