KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menafikan catatan di laman Facebook dan laporan sebuah akhbar Tamil yang mendakwa pihaknya telah bersetuju mengambil kesemua 75 orang belia berbangsa India yang dilatih Askar Wataniah, meskipun 60 orang daripada mereka tidak memenuhi kelayakan.

Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, kementerian tidak pernah memberi jaminan mengambil kesemua pemohon itu dalam pasukan Wataniah.

“Fakta berkenaan tidak benar.

Kementerian turut memaklumkan, keutamaan kemasukan ke perkhidmatan sukarela Wataniah diberikan kepada calon-calon yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV)/Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), atau setaraf, atau tamat Tingkatan 5.

Namun, pihak Wataniah juga mempertimbangkan calon-calon yang memiliki sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau sekurang-kurangnya tamat Tingkatan 3 di sekolah bantuan kerajaan serta boleh bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan.

“Kelonggaran ini diberi tanpa mengira kaum dan agama,” menurut kenyataan itu.

Advertisements