Pihak polis lambat bertindak dalam mengendalikan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 26 November lalu, kata bekas ketua polis negara Musa Hassan.

Musa berkata polis juga lewat menahan perusuh, sehingga menyukarkan proses mengenal pasti identiti individu yang melakukan kesalahan tersebut.

“Kalau ambil contoh ketika saya memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa berlakunya perhimpunan Hindraf di Ampang Park, seramai 130 individu ditangkap pada hari kejadian.

“Namun pada ketika itu segala maklumat masih ‘panas’ (baru) kerana kita bertindak (menangkap) secara besar-besaran sebelum menjalankan siasatan lanjut.

“Kejadian itu adalah sama seperti rusuhan kuil berkenaan. Peserta perhimpunan mencederakan anggota polis dan bomba, merosakkan kenderaan awam termasuk kenderaan polis,” katanya.

Katanya, selain mengambil tindakan lebih awal iaitu sejurus selepas berlakunya rusuhan tersebut, pihak polis sewajarnya melakukan satu tindakan holistik bagi mengumpul maklumat yang ada berhubung insiden tersebut.

“Justeru adalah paling tepat sekiranya tindakan dapat diambil lebih awal berdasarkan maklumat yang baru. Berbanding mengesan individu dengan lambat maklumat yang diperolehi juga sudah basi.

“Saya juga berharap polis menggerakkan segala maklumat yang ada khususnya dalam bentuk siasatan dan risikan untuk mengesan mereka yang terbabit.

“Pegawai penyiasat juga harus memastikan laporan dan bukti kukuh dalam elemen siasatan untuk memastikan pembunuh yang membunuh Muhammad Adib dikenakan tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menuding jari terhadap pihak polis dalam perkara itu kerana percaya mereka mempunyai rancangan tersendiri dalam mengendalikan kes tersebut.

Susulan daripada insiden tersebut, seorang anggota bomba cedera parah sehingga menyebabkan kematiannya pada 17 Disember lalu. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).

Advertisements