PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengecualikan bayaran pendaftaran Premis Penginapan Pelancongan berjumlah RM70 kepada semua pengusaha premis pelancongan mulai 1 Januari hingga 31 Mac tahun depan.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata premis penginapan itu termasuk hotel, resort, rumah tumpangan, asrama dan rumah inapan di seluruh negara.

“Saya meminta semua pengusaha premis penginapan yang belum berdaftar untuk mengambil peluang ini dan mendaftarkannya terlebih dahulu, sebelum memohon lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan.

“Kita menyasarkan 1,700 pengusaha yang belum berdaftar supaya mengambil peluang untuk mendaftar premis mereka sepanjang tempoh berkenaan,” katanya pada sidang media selepas sesi bersama penggiat industri di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai seramai 28.1 juta jumlah kedatangan pelancong antarabangsa dengan menjana pendapatan sebanyak RM92.2 bilion pada tahun depan.

“Bagi mencapai hasrat ini, saya berbesar hati ingin memaklumkan fokus utama bagi tahun 2019 adalah untuk membangunkan sektor pelancongan eko dan budaya.

“Saya berharap sokongan dan kerjasama yang diberikan selama ini diteruskan bagi memajukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia menjelang 2020 serta mengekalkan jati diri bangsa berteraskan seni, budaya dan warisan negara,” katanya.

Advertisements