KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kelantan menerima pendaftaran seramai 3,000 bekas ahli UMNO dari Jeli yang dibawa masuk oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Timbalan Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Sazmi Miah, berkata penyertaan mereka termasuk Ketua Cawangan dan bekas Penghulu dilakukan hasil usaha Mustapa atau lebih dikenali Tok Pa sendiri selepas Ahli Parlimen Jeli itu mula sertai parti berkenaan.

Katanya, Tok Pa adalah seorang pemimpin yang kuat bekerja atau ‘kaki kerja’ dan disebabkan itu, akan lebih ramai ahli UMNO lagi mahu mengikut jejak bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Kita (BERSATU) tidak boleh bersikap eksklusif…parti kita akan kecil dan tidak berkembang.

“Sememangnya kita dari dulu menentang UMNO, tapi tidak semua ahli parti itu rosak sebaliknya hanya segelintir saja. Malah, ada juga Ahli Parlimen UMNO tidak terbabit secara langsung (rasuah dan salah laku), cuma mereka perlu mewakili parti itu.

“Jadi kita tidak boleh menuduh semua orang UMNO sebegitu dan disebabkan itu kita ada jawatankuasa di peringkat pusat untuk menapis permohonan. Kita tidak halang mereka hantar borang, tapi yang pasti kita akan tapis terlebih dahulu supaya mereka tidak menjejaskan nama parti,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

BH Online sebelum ini melaporkan akar umbi BERSATU Kelantan menggesa pucuk kepemimpinan parti supaya tidak menerima wakil rakyat daripada UMNO memandangkan mereka sebelum ini antara yang menentang dan memperlekeh parti itu.

Mengulas lanjut, Sazmi yang juga Ketua Bahagian BERSATU Machang berkata, BERSATU perlu terbuka untuk menerima Ahli Parlimen dan wakil rakyat daripada UMNO dalam usaha mengembangkan lagi kekuatan parti itu.

Justeru, katanya, akar umbi di negeri ini tidak perlu bimbang kerana BERSATU tidak sewenang-wenangnya menerima mereka sertai parti itu, sebaliknya mereka perlu bersih daripada semua salah laku dan rasuah.

“Ahli Parlimen atau wakil rakyat yang sertai BERSATU mempunyai garis panduan iaitu mereka mempunyai sekurang-kurang satu tahun sebelum boleh bertanding dalam pemilihan. Kita mahu mereka mempunyai masa untuk menjiwai budaya parti berkenaan sebelum kita pastikan layak atau sebaliknya bertanding,” katanya.

Advertisements