MOSCOW: Juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov dilaporkan mendapat tawaran lumayan bagi bertarung sekali lagi dengan bekas juara UFC, Conor McGregor pada 2019.

Kedua-dua musuh ketat itu kali pertama membuat perhitungan dua bulan lalu yang menyaksikan Khabib ditabalkan sebagai juara selepas empat pusingan.

Sejurus selepas kekalahan itu, McGregor menerusi laman sosial media miliknya mengatakan yang dia mahu mengulangi pertarungan dengan Khabib.

Bagaimanapun, di sebalik kesungguhan McGregor untuk pertembungan itu, Presiden UFC, Dana White berkata, dia mahu mengadakan pertarungan antara Tony Ferguson dengan Khabib manakala McGregor bertemu sekali lagi dengan Dustin Poirer.

Namun, semua perancangan terhadap pertarungan itu masih belum dimuktamadkan sehingga NSAC menjatuhkan hukuman ke atas McGregor dan Khabib susulan kesalahan yang dilakukan mereka ketika pertarungan pada UFC 229.

Menurut bapa Khabib, Abdulmanap Nurmagomedov, tawaran sudah pun dikemukakan oleh UFC.

“Mereka menawarkan AS$15 juta (RM62.7 juta) bagi mengulangi pertarungan dengan Conor,” kata Abdulmanap kepada Sport24.

“Namun, kami mahukan AS$30 juta (RM125.5 juta).”

Ketika pertarungan dengan McGregor dilihat bakal memberi pulangan cukup lumayan kepada Khabib, bapanya  percaya Tony  Ferguson dan Duston Poirer tidak boleh dinafikan hak atau peluang dengan anaknya itu yang masih belum pernah tewas.

“Ada lawan lain yang menanti dan berhak untuk bertarung dengan Khabib. Kita perlu menghormati mereka.

“Perkara ini perlu diambil kira. Kedua-dua mereka berhak untuk pertarungan ini,” katanya. – AGENSI

Advertisements