SERIAN: Diacu raifal Pindad SS-1 di kepala selama enam jam seperti penjenayah berbahaya menjadi detik cukup menakutkan bagi rakyat Malaysia, Ruby Nyalu, 30.

Ruby, ketika ditemui di Kampung Danau Melikin, di sini, kelihatan masih trauma mengenangkan nyawanya yang betul-betul berada di hujung tanduk selepas dia dan empat lagi rakan diculik Tentera Nasional Indonesia (TNI) di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat, 11 Disember lalu.

Bagaimanapun, Ruby amat bersyukur dan mengakui sambutan Krismas tahun ini lebih bermakna kerana dia dan empat lagi rakan terselamat daripada insiden penculikan itu.

“Hanya terfikir maut saja ketika itu, malah cukup sedih mengenangkan keluarga yang tentunya menantikan kepulangan kami menjelang sambutan Krismas,” katanya.

Menceritakan semula detik itu, Ruby berkata mereka ditahan kira-kira jam 10 pagi di Hutan Wong Rangkai, berhampiran rumah panjang mereka, sebelum didatangi dua lelaki berseragam TNI yang lengkap bersenjata.

Mereka kemudian diarahkan memandu kenderaan pacuan empat roda milik bapa Ruby menuju ke Pos Kawalan Sempadan TNI di Sungai Engkeli, dengan seorang anggota tentera negara jiran itu duduk di bahagian depan dan seorang lagi di belakang sambil mengacukan senjata ke arah mereka.

Menurut Ruby, setibanya di pos berkenaan, mereka diarah menanggalkan pakaian kecuali seluar dalam dengan muka ditutup dengan kain sebelum dibelasah kira-kira 12 anggota tentera di situ.

“Mereka mendakwa kami mencuri kayu dari kawasan Indonesia tetapi apabila saya menjawab, saya dipukul. Setiap kali menjawab, mereka akan pukul,” katanya.

Ruby mengalami kecederaan paling teruk pada bahagian muka akibat ditumbuk, selain dipukul menggunakan rotan di kaki dan badan.

Beliau turut menghargai usaha Wisma Putra yang dibantu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membebaskannya bersama empat lagi saudaranya, pada jam 4 petang, 11 Disember lalu.

Justeru, Ruby berharap agar ATM segera membina pos kawalan sempadan di kawasan terbabit bagi mengelak perkara sama berulang, termasuk insiden pencerobohan sempadan oleh TNI.

“Disebabkan tiada Pos Kawalan Sempadan ATM di kampung itu, anggota TNI, termasuk penduduk kampung dari wilayah Indonesia bebas keluar masuk hingga membimbangkan penduduk kampung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Danau Melikin B, Nyalu Tampa, 60, berkata kampung mereka ‘dikuasai’ oleh tentera negara jiran itu sejak tujuh tahun lalu selepas sebuah ladang sawit dibuka di situ.

Beliau mendakwa pemilik ladang sawit berkenaan menjalin kerjasama dengan anggota tentera di Pos Kawalan Sempadan TNI di Sungai Engkeli untuk menjaga ladang berkenaan.

Katanya, pembukaan ladang itu dibantah penduduk kampung kerana menggunakan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) penduduk secara haram.

“Pemilik ladang membina jalan dan menghantar bekalan makanan kepada anggota TNI di sana. Mereka juga bebas keluar masuk ke kawasan kampung dan mengugut kami jika mengganggu ladang sawit itu,” katanya.

Advertisements