IPOH: Kementerian Kesihatan tidak akan tangguhkan peraturan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini yang akan berkuat kuasa 1 Januari depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sekiranya ada sebarang masalah, kementerian sedia mengadakan sesi dialog bagi mengatasinya.

“Kita pernah ada dialog dengan pengusaha restoran dan sesi itu berterusan di setiap negeri dan kita faham masalah mereka bangkitkan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program gotong-royong di Kampung Rapat Jaya Tambahan di sini, hari ini.

Beliau berkata merokok bukan setakat memudaratkan kesihatan perokok, malah orang yang tidak merokok juga kerana mereka terdedah dengan asap rokok.

“Kita juga ambil maklum bahawa ada kalangan perokok dalam golongan remaja, ada trend yang meningkat.

Kita pandang serius perkara ini. Kalau tidak kawal, ia akan menjadi masalah besar pada masa akan datang.

“Pada tahun 2005, Malaysia juga telah menandatangani perjanjian dengan World Health Organisation Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) dan dalam perjanjian itu, kita menyasarkan menjelang tahun 2045, negara menjadi bebas daripada perokok. Jadi, kita harus mula sekarang,” katanya.

Semalam, Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyifatkan merokok sebagai kebiasaan masyarakat negara ini yang sudah sebati dan sukar untuk membendung ketagihan itu.

Justeru, mereka menggesa kerajaan tangguhkan dulu pelaksanaan undang-undang larangan merokok sehingga pelanggan yang merokok boleh menerima pelaksanaan ini dengan baik.

Kementerian mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua premis makanan, antaranya restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Advertisements