KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir warkah yang ditulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Najib memetik salah satu ayat dalam warkah itu yang mana Mujahid mencoretkan bahawa beliau tidak boleh tidur kerana mengenangkan apa yang dilakukan oleh Nurul Izzah,

Mujahid merujuk kepada tindakan Nurul Izzah meletak jawatan sebagai naib presiden dan Pengerusi PKR Pulau Pinang pada 17 Dis lalu.

Najib dalam posting di akaun Twitter milik beliau menasihatkan Mujahid agar berdoa kepada Allah supaya mudah tidur dan tenang.

“Dah berapa malam tak tidur?

“Kalau masih tidak boleh tidur, bacalah doa mohon kepada Allah untuk mudah tidur dan tenang,” ciap Najib.

 

Menerusi warkah yang ditulis ketika dalam perjalanan darat dari bandar bersejarah Cordova ke Madrid, Mujahid membahasakan dirinya “kekanda” dan memanggil Nurul Izzah sebagai “adinda”.

“Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan adinda setelah keputusan adinda tempoh hari.

“Semoga adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku ‘Puteri Reformasi’,” tulis Mujahid.

Advertisements