KUALA LUMPUR: Siasatan pihak polis berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, menemukan dapatan tertentu yang hanya boleh didedahkan di mahkamah nanti.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat dilakukan pihak forensik patologi menemukan dapatan tertentu mengenai punca kematian Muhammad Adib yang hanya boleh didedahkan di mahkamah nanti.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perkembangan siasatan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib yang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. katanya.

“Saya sudah berbincang dengan Peguam Negara mengenai perkembangan kes ini dan Peguam Negara sudah memaklumkan kepada saya bahawa beliau selaku Pendakwa Raya akan menjalankan kuasanya di bawah Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah.

“Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk membuat siasatan (inkues) di bawah Bab XXXII Kanun yang sama bagi menentukan sebab kematian Allahyarham. Pihak Pendakwa Raya akan memohon kepada Mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu Majistret terbabit dalam menjalankan inkues berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam prosiding inkues itu, Majistret akan mempunyai kuasa luas di bawah seksyen 328 Kanun Tatacara Jenayah yang memberi erti sebab kematian.

“Ini termasuk mempertimbangkan bagaimana Allahyarham menemui ajalnya dan sama ada kematiannya disebabkan, atau dipercepatkan oleh, apa-apa perbuatan atau ketinggalan yang menyalahi undang-undang dilakukan oleh orang lain,” katanya.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Advertisements