NAMPAKNYA Datuk Seri Najib Tun Razak agak gembira hari ini.

Sebabnya kelab bola sepak kegemaran bekas Perdana Menteri itu, Manchester United menang selesa 3-1 ke atas Huddersfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Rabu malam.

Menerusi akaun Facebook rasminya, Najib memuat naik tangkap layar kedudukan terkini EPL yang menunjukkan The Red Devils berada di tangga keenam.

“Dua kemenangan berturut-turut bawah Ole Gunnar Solskjaer. Rasanya kita dah boleh keluar gua.

“Tangga ke-6 bukan tempat kita. Yakin 2019 kita ke atas #ggmu,” memetik kapsyennya.

 

Tidak sampai sejam ia dimuat naik, kemas kini itu sudah mendapat lebih 4,400 tanda suka, 730 komen dan 459 perkongsian.

Cuti rehat selepas melepaskan jawatan-jawatan besar dimanfaatkan sebaiknya Najib dengan berkesempatan menonton bola sepak juga meluangkan masa bersama cucunya.

Selain Najib, penyokong-penyokong Manchester United di seluruh dunia juga sudah mula tersenyum dengan persembahan semakin meyakinkan sejak legenda kelab, Solskjaer mengambil alih kerusi pengurus sebagai pengendali interim.

Perlawanan pertama Solskjaer menentang Cardiff City pada Sabtu menyaksikan United menang besar 5-1, memberi sinar baharu di Old Trafford selepas permulaan musim paling teruk di bawah kendalian Jose Mourinho.

Advertisements