KUALA LUMPUR: Mahkamah Shah Alam menetapkan pada 18 Januari ini bagi pengurusan kes inkues untuk menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Cara Negara III, Datuk Mohd Hanafiah Zakaria ketika dihubungi media hari ini.

Mohd Hanafiah yang juga Ketua Unit Bicara dan Rayuan Pejabat Peguam Negara berkata, pihaknya memfailkan dokumen permohonan kes di Pejabat Pendaftar Kompleks Mahkamah Shah Alam semalam dan mahkamah kemudian menetapkan tarikh berkenaan.

Katanya, prosiding inkues akan dijalankan di mahkamah koroner yang bersidang di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Peguam Negara akan mengarahkan Majistret untuk menjalankan inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib.

Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan sendiri oleh Tommy Thomas, hasil perbincangan yang diadakan selepas penemuan dapatan tertentu polis menerusi rakaman percakapan saksi, lakonan semula dan hasil bedah siasat pihak forensik patalogi hanya boleh didedahkan di mahkamah kelak.

Katanya, Pendakwa Raya akan memohon kepada mahkamah supaya ditetapkan tarikh pendengaran dengan segera dan akan membantu koroner menjalankan inkues.

Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari bertarung nyawa.

Advertisements