KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa semalam, PERKESO melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (Faedah Penuh) bagi menggantikan Bantuan Interim Sistem Insurans Pekerjaan.

Sebelum ini, bantuan interim diberikan kepada pekerja yang hilang pekerjaan dengan kadar tetap iaitu RM600 bagi tempoh maksimum tiga bulan dalam tempoh mencari pekerjaan.

“Bermula 1 Januari 2018 hingga 28 Disember 2018, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) menerima permohonan bantuan interim daripada 23,185 pekerja yang hilang pekerjaan.

“Hingga kini, sebanyak RM16.88 juta faedah interim sudah diberi oleh PERKESO kepada pekerja yang disahkan kehilangan pekerjaan dan layak menerima bantuan interim.

“Bermula 1 Disember 2018 ini, bagi pekerja yang hilang pekerjaan dan sudah cukup mencarum minimum 11 bulan caruman, layak menuntut faedah penuh SIP (full-fledged) seperti Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) dan Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB),” kata PERKESO dalam satu kenyataan itu, hari ini.

Berbanding Bantuan Interim yang hanya menawarkan bantuan kewangan pada kadar tetap, faedah penuh SIP menyediakan lebih banyak manfaat kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Antara faedah penuh SIP yang disediakan adalah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Kewangan bagi mereka yang kehilangan sumber pendapatan tunggal dan dalam proses carian pekerjaan.

“Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) adalah elaun kewangan bagi mereka yang mempunyai beberapa pekerjaan dan kehilangan sekurang-kurangnya satu, tetapi tidak semua pekerjaan.

“Fi/Yuran Latihan (FL) pula untuk pekerja mengikuti latihan kemahiran dengan pengesyoran Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO. Yuran latihan akan dibayar terus kepada syarikat yang menyediakan latihan (service provider) bagi pemohon yang terpilih mengikuti kemudahan latihan vokasional tidak melebihi tempoh enam bulan dengan kos maksimum latihan iaitu RM4,000.

“Elaun Latihan (EL) pula satu insentif kewangan yang dibayar kepada peserta yang menghadiri latihan bagi menggalakkan mereka menghadiri semua sesi latihan. Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), adalah insentif kewangan yang dibayar kepada penerima faedah EMP yang berjaya kembali bekerja awal,” katanya.

Program penempatan pekerjaan semula pula adalah perkhidmatan pekerjaan melalui bantuan Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan yang membantu carian pekerjaan, khidmat kaunseling, temu duga, latihan dan sokongan pekerjaan berterusan.

PERKESO juga mewujudkan portal EIS bagi memudahkan Orang Berinsurans PERKESO membuat tuntutan faedah SIP.

Pencarum SIP yang hilang pekerjaan dan memenuhi syarat kelayakan ditetapkan layak menerima bayaran faedah penuh SIP. Maklumat lanjut layari www.perkeso.gov.my.

Advertisements