KUALA LUMPUR: Keputusan rasmi mengenai mekanisme penetapan harga minyak akan diumumkan esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam sudah membuat keputusan berhubung perkara itu, yang mengambil kira kepentingan semua pihak.

“Kabinet membincangkan dengan panjang lebar isu berkenaan dan menimbangkan semua pandangan pihak berkepentingan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan promosi Tahun Baru Cina “Ong Mali’ di Tesco Kepong di sini, hari ini.

Pada 23 Disember lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengumumkan mulai 1 Januari lalu, harga bahan api termasuk RON 95, akan mula diapungkan secara mingguan.

Berikutan itu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menentang keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

PDAM juga meminta kerajaan menaikkan komisyen pengusaha stesen minyak bagi mengurangkan kerugian yang ditanggung.

Sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet semalam, Dr Mahathir bertemu wakil dan pimpinan PDAM selama 45 minit bagi mendengar kebimbangan mereka.

Saifuddin juga enggan mengesah sama ada kerajaan akan meneruskan sistem pengapungan harga bahan api itu atau tidak.

Katanya, keputusan sudah dibuat dan pengumuman mengenainya akan di buat esok.

Advertisements