BACHOK: Balai Bomba dan Penyelamat Bachok mengambil langkah berjaga-jaga memantau beberapa pantai di daerah ini bagi menghadapi ribut tropika Pabuk yang dijangka berlaku pada petang ini.

Ketua Balai, Penolong Penguasa Bomba, Yus Haery Mahmud, berkata pemantauan itu dibuat sejak semalam sehingga pagi tadi membabitkan jarak 13 kilometer.

Katanya, pemantauan dibuat di beberapa pantai di daerah ini antaranya Pantai Irama, Pantai Kubang Golok dan Pantai Kemayang.

“Ketika tinjauan dibuat, kita dapati masih ada penduduk yang sedang mengutip remis jadi kita beri makluman mengenai fenomena sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya ketika melakukan tinjauan di Pantai Irama, di sini, hari ini.

Haery berkata, tinjauan dibuat bersama Pegawai Bomba Kanan II, Ibrahim Rohni dan beberapa anggota.

Katanya, seramai 34 anggota bomba dengan 10 anggota dipersiapkan dalam satu-satu masa bersama dua bot Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi menghadapi bencana itu.

Pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak mendekati pantai buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Mengikut ramalan Jabatan Mateorologi, ribut siklon tropika dijangka melanda pesisir pantai Kelantan dengan kelajuan angin 20 hingga 30 batu sejam.

Kelajuan angin itu akan menyebabkan laut bergelora dan ombak yang tinggi dengan kesan sama turut terkesan di kawasan pantai di Tumpat, Pengkalan Chepa, Pasir Puteh dan Bachok sehingga esok.

Advertisements