KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan belum menyerahkan semua dokumen bagi perbicaraan kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapi bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terdapat beberapa dokumen lagi yang belum diserahkan kepada peguam Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

“Setakat ini, pihak pendakwaan sudah menyerahkan tiga lagi dokumen, bagaimanapun, masih ada beberapa lagi yang belum diserahkan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Iskandar turut memaklumkan pihaknya sudah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 21 Februari ini untuk serahan dokumen dan status pemindahan kes.

Terdahulu, Mohd Khairul Azam memohon mahkamah supaya akaun Hasanah tidak dibekukan untuk membolehkan anak guamnya meneruskan keperluan harian.

Bagaimanapun Rozina berkata, mahkamah tidak boleh membuat sebarang keputusan berhubung permohonan itu, sebaliknya menyarankan kedua-dua pihak berbincang mengenai permohonan tersebut.

Pada 29 November lalu, pihak pendakwaan sudah menyerahkan kepada pembelaan sebanyak 46 dokumen termasuk rakaman percakapan, senarai sitaan dan surat pelantikan Hasanah sebagai Ketua Pengarah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Hasanah, 61, didakwa sebagai penjawat awam, iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) melakukan pecah amanah AS$12.1 juta milik kerajaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 April dan 9 Mei lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebat dan denda.

Advertisements