PASIR MAS: Pelanggan dan kakitangan sebuah stesen minyak di bandar Pasir Mas Kelantan dikejutkan dengan teriakan seorang lelaki yang mendakwa terdapat bom di dalam kereta yang dipandunya ketika berhenti di sebuah stesen minyak di sini malam Rabu.

Susulan teriakan lelaki tersebut, kakitangan stesen minyak berkenaan terus menghubungi pihak polis memaklumkan terdapat bom dalam kereta di stesen minyak berkenaan.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Abdullah Mohammad Piah, hasil pemeriksaan polis dan Unit Pemusnah Bom tidak menjumpai sebarang jenis bahan letupan dalam kereta Perodua Axia yang dipandu oleh lelaki berkenaan.

 

“Dia (lelaki terbabit) tidak dikatakan buat panggilan bom palsu, dia kata dalam kereta dia bunyi detikan yang dia lapor kepada petugas stesen minyak. Kita akan buat siasatan lanjut dulu,” katanya.

Tambahnya lagi, selepas menerima panggilan itu, pihaknya bergegas ke lokasi dan unit pemusnah bom mengambil masa bermula jam 9 malam hingga jam 1 pagi tadi memeriksa kereta berkenaan.

Bagaimanapun, tiada sebarang penemuan yang boleh dikaitkan dengan bom atau bahan letupan.

Menurut ACP Abdullah lagi, pihaknya turut menahan dan merakam percakapan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  Pasir Mas bersama dua jentera turut ditempatkan berhampiran stesen minyak berkenaan sepanjang unit pemusnah bom memeriksa kereta berkenaan sebelum mendapati kenderaan terbabit bebas bom.

Kereta berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut manakala kawasan stesen minyak berkenaan disahkan selamat.

Advertisements