LANGKAWI: Semua aktiviti pantai di sini dibenarkan beroperasi seperti biasa selepas bendera merah diturunkan susulan amaran ribut tropik Pabuk ditamatkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini.

Penamatan amaran pada jam 11 pagi itu dibuat selepas kedudukan ribut tropika Pabuk berada pada jarak 345 kilometer (km) dari Langkawi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, berkata pihaknya sudah menerima makluman mengenai penamatan amaran pada jam 11.40 pagi tadi.

“Bagaimanapun, kita masih mengekalkan anggota di menara tinjau dan sekitar kawasan pantai sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya yang ditemui di Pantai Chenang di sini, hari ini.

METMalaysia mengumumkan penamatan amaran ribut tropik Pabuk selepas kedudukannya didapati berada pada jarak 345km dari Langkawi dan 362km dari Arau, Perlis.

Ketua Pengarah METMalaysia, Alui Bahari dalam kenyataan berkata, ribut terbabit semakin menjauhi perairan Malaysia, sekali gus tidak memberi sebarang ancaman kepada negara.

“Keadaan cuaca di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga dijangka bertambah baik. Ini membolehkan amaran yang dikeluarkan pada 28 Disember lalu, ditamatkan,” katanya.

Semalam akhbar melaporkan Pengarah Pejabat Meteorologi Pulau Pinang, Ling Leong Kwok, menegaskan Pabuk yang melanda perairan Pantai Timur Semenanjung tidak akan membadai Langkawi secara terus, sebaliknya pulau peranginan itu hanya akan menerima kesan sampingan akibat keadaan itu.

Ini kerana kedudukan angin ribut berada pada jarak 200km ke utara, sekali gus mustahil baginya membadai Langkawi secara terus.

Sehubungan itu, beliau berkata, penduduk dan pelancong di Langkawi tidak perlu panik dengan keadaan itu, namun hanya perlu berhati-hati dengan keadaan angin kuat dan hujan, kesan daripada pinggiran ribut itu.

Malah, pengusaha feri juga memaklumkan tiada sebarang pembatalan atau pengurangan perjalanan feri ke Langkawi dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis susulan amaran pulau pelancongan terbabit dijangka menerima tempias daripada ribut tropika Pabuk.

Advertisements