KUALA LUMPUR: Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor, 51, sedih apabila sedih apabila ada pihak menggelar dirinya ‘barua’ dan dipergunakan dalam pelaburan pasar raya ST Rosyam Mart.

Menurut bintang KL Special Force itu, niat asal untuk membantu masyarakat mendapatkan barangan lebih murah dipertikaikan apabila ada pihak menyebarkan cerita bukan-bukan.

“Saya sedih dan keluarga saya juga malu dengan tuduhan dilemparkan. Sedangkan, saya mempunyai 10 peratus saham dalam ST Rosyam Mart.

“Saya sedih kerana niat saya mahu membantu masyarakat (membeli barangan murah), tetapi lain pula jadinya,” kata pelakon itu pada sidang media khas memperjelaskan isu pasar raya ST Rosyam Mart, di sini hari ini.

Yang turut hadir, pemilik Sri Ternak Group Sdn Bhd, Ho Ah Chai, dan pengarahnya, Datuk Raymond Ho Cheng Hann.

Dalam pada itu, Rosyam menjelaskan, 89 peratus ST Rosyam Mart adalah milik Raymond, manakala satu peratus lagi dimiliki Alan Ho Cheng Yek.

Baru-baru ini, beberapa individu mendakwa pasar raya berkenaan dimiliki pengusaha Tionghua dan Rosyam hanya menjadi duta bagi tujuan menarik perhatian pelanggan.

Malah, individu terbabit turut menuduh pemilik Sri Ternak bukan sekadar berniaga ayam, tetapi juga mengedar dadah. Rosyam juga dikatakan dipergunakan syarikat berkenaan.

Sementara itu, Rosyam berkata, beliau sudah membuat laporan berhubung dakwaan terbabit, petang semalam, di Balai Polis Jalan Tun Razak, di sini.

Katanya, laporan polis dibuat kerana dakwaan berkenaan mencemarkan namanya dan pada masa sama memburukkan reputasi Sri Ternak yang sudah menjalankan perniagaan runcit sejak kira-kira 70 tahun lalu.

“Saya malu apabila Sri Ternak dituduh bukan-bukan apabila menjalinkan kerjasama dengan saya, sedangkan sebelum ini nama mereka bersih tanpa cercaan,” katanya.

Advertisements